Saturday 5 November 2011

Pengorbanan dalam Ketaatan

Dengan nama Allah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Dengan izinNya, digagahkan juga diri untuk menulis. Allahuakbar! Minggu ini memang banyak pergolakan rasa. Alhamdulillah, masih mampu mengungkap namaNya. Dengan izinNya juga, ingin berkongsi sedikit mengenai sesuatu yang mungkin dekat dengan kita, mungkin kita sudah mengetahui atau mungkin belum.

Di kalangan umat Islam hari ini sibuk membuat persiapan untuk raya kita yang kedua; iaitu Aidil Adha. Mungkin juga sebahagian langsung tidak mengendahkannya. Diakui sambutan Aidil Fitri itu lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan Aidil Adha di sesetengah tempat.

Wahai sahabat yang dikasihi Allah, dalam hadis baginda SAW bersabda;
aku datang kepada kalian dan kalian mempunyai dua hari raya yang kalian bermain-main di dalamnya pada masa jahiliyyah, dan Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik bagi kalian iaitu hari raya kurban dan hari berbuka
(HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasai')

Sewajarnya tidak harus untuk kita mengabaikan walau salah satu daripada perayaan yang Allah SWT kurniakan untuk kita. Ya, dari segi sambutannya. Bahkan yang lebih penting dari segi penghayatannya.

Aidil Adha atau nama lainnya, Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Kita tahu pada bulan Dzulhijjah umat Islam yang berkemampuan akan menunaikan rukun Islam kelima; iaitu ibadat Haji.
"Haji tu siapa mampu jelah yang buat"
Mungkin ada sebilangan mereka yang di luar sana berfikiran demikian. Nilai mampu di situ bukan 'memiliki kesenangan', tapi nilai mampu di situ ialah MAMPU BERKORBAN. Mereka yang menunaikan haji perlu mampu menanggung kos perjalan pergi dan balik, kos makan minum, mampu dari segi tenaga, mampu dari segi kelapangan masa, mampu menampung sara hidup tanggungan yang ditinggalkan, dan banyak lagi yang harus mereka MAMPU.

Semua ini tidak boleh tidak memerlukan pengorbanan. Pengorbanan harta, masa, tenaga dan jiwa. Mereka yang menunaikan ibadat Haji pergi dan balik ibarat meletakkan nyawa pada risiko yang tinggi. Mereka adalah musafir; perjalanan yang bukan seperti menuju ke supermarket, tapi perjalanan yang mempertaruhkan jiwa. Mempertaruhkan segalanya untuk mentaati perintah Allah SWT. Allahuakbar! Moga kita menghayati dengan mata hati ibadah haji itu.

Begitu juga dangan ibadah korban. Mengeluarkan sebahagian harta kita untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukan. Apalah sangat pemberian kita pada mereka jika hendak dibandingkan dengan jumlah pemberian nikmat Allah SWT  kepada kita seumur hidup; dan ditambah pula dengan ganjaran akhirat. Moga ikhlas mengiringi pemberian kita. Haiwan korban itu tunduk pada perintah Allah untuk dijadikan korban- untuk kita menunaikan ibadat ini. Allahuakbar! Andai kita masih enggan tunduk padaNya, malulah kita pada haiwan ternakan itu. Sedangkan Allah mengurniakan kita hati, akal... dan sedangkan Allah ciptakan haiwan itu bahkan seluruh isi bumi untuk mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Wahai sahabat, hayatilah kisah pengorbanan yang agung. Bukan kisah si rupawan sanggup berkorban untuk melihat kebahagian si jelita. Namun, hayatilah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS semata-mata untuk taat kepada Allah SWT. Kisah pahit getir Rasulullah SAW dalam menyampaikan kalimah "Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah". Juga kisah pengorbanan harta, tenaga, masa dan jiwa para sahabat dalam mendukung dakwah baginda SAW. Kisah ramai lagi para mujahid. Tiadalah manisnya mujahadah tanpa taddiyyah (pengorbanan).


Renunglah ke dalam diri kita; apa yang telah kita korbankan untuk Islam? Hidupkan dalam diri semangat mahu berkorban. Contoh paling mudah; berkorban meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat untuk kita. Allahuakbar! Moga hati kita tidak keberatan untuk berkorban di jalan ini. Kerana syurga Allah itu mahal!

Bib mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Aidil Adha kepada semua. Semoga hati-hati kita teguh dalam membentuk diri  menjadi rijal yang sanngup berjuang dan berkorban demi mencapai redha Allah SWT. Ameen.

No comments:

Post a Comment